Nanas ‘Keningau Diamond’ berpotensi tinggi

LIMBANG: Seramai 31 orang peserta telah terlibat dalam Projek Perintis Penanaman Nanas Jenis ‘Keningau Diomand’ di Daerah Limbang dengan setiap peserta diberikan tanah seluas 1 ekar untuk diusahakan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, dalam projek ini setiap peserta telah diberikan kemudahan persediaan tapak seperti pembersihan tapak dan sulur atau benih nanas serta baja.

“Alhamdulillah, projek yang bermula pada penghujung tahun 2019 dan sekarang semua peserta telahpun menanam nanas tersebut. Nampaknya tanah di sini sesuai untuk penanaman nanas varieti terbaru ini.

“Selepas varieti MD2, kita hendak memperkenalkan nanas yang dinamakan Keningau Diomand.

“Hasil tinjauan kita pada hari ini para peserta menunjukkan sikap yang positif dan rajin dalam mengusahakan tanaman mereka setiap hari dan hasilnya tanaman nanas hidup dengan begitu subur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Nanas di tiga kawasan iaitu di Projek Perintis Nanas Keningau Diomand di Kampung Pendam dan kebun nanas persendirian di Kampung Lupak Rangas dan Kampung Pahlawan pada Ahad.

Beliau berharap projek ini akan dapat diperluaskan lagi di kawasan lain di seluruh negeri Sarawak.

Ujar Datuk Dr Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, belia perlu mengambil dan memanfaatkan peluang yang disediakan Kerajaan Sarawak ini dengan menjadikan pertanian itu sebagai suatu kerjaya.

“Ini adalah untuk menarik minat para belia dan kerajaan mempunyai pelbagai jenis bantuan untuk mereka.

“Pertama, untuk permulaan subsidi secara berkelompok dan persendirian, kemudian apabila mereka hendak memperbesarkan lagi dan memerlukan dana kita akan membantu melalui program yang dinamakan ‘venture capital’.

“Setakat ini, alhamdulillah ramai yang berminat untuk menceburi bidang pertanian ini.

“Ini dapat kita lihat melalui penyertaan yang memberangsangkan apabila kita mengadakan program turun padang untuk berkongsi teknologi dan ilmu dengan para petani di lapangan melalui program yang dinamakan Agriculture Community Outreach Program (AgriCop),” ujarnya.

Penglibatan bersama belia dalam bidang pertanian ini telah menunjukkan satu perkembangan yang baik terutamanya kepada Jabatan Pertanian dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah untuk menjadi pengeksport bersih produk-produk pertanian berasaskan makanan (agro food) pada masa akan datang.

Hadir sama Pegawai Pertanian Pembangunan Jabatan Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Ramli dan Ketua Kampung Pendam Abdul Rahman Said.

Source: https://sarawakvoice.com/2020/12/30/nanas-keningau-diamond-berpotensi-tinggi/

Scroll to Top